Sebelum pulang, tolongle klik kat iklan tu ye.. million TQ dear..

Monday 26 March 2012

Jangkitan Paru-Paru / Bengkak Bernanah


Bengkak bernanah merupakan satu keadaan dimana terdapat nanah di dalam kaviti paru-paru yang dikelilingi oleh tisu yang meradang. Keadaan ini berpunca daripada jangkitan.

  • Bengkak bernanah dalam paru-paru biasanya disebabkan oleh bakteria yang terdapat dalam mulut dan disedut masuk ke dalam paru-paru.
  • Gejala bagi penyakit ini adalah seperti badan tidak bermaya, hilang selera makan, berpeluh-peluh, demam dan batuk yang berkahak.
  • Pemeriksaan dilakukan melalui imbasan X-ray bahagian dada.
  • Individu yang mempunyai masalah ini perlu mengambil antibiotik untuk beberapa minggu hingga bengkak bernanah itu hilang.
Punca

Bengkak bernanah didalam paru-paru biasanya disebabkan oleh bakteria yang hidup di dalam mulut atau kerongkong yang dimana ia kemudiannya disedut ke dalam paru-paru dan menyebabkan jangkitan. Penyakit ini kerap berlaku disebabkan oleh masalah atau penyakit gusi (periodontal) dimana ia menjadi sumber  bakteria yang boleh menyebabkan bengkak bernanah pada paru-paru.

Walaupun tubuh badan manusia dilengkapi dengan mekanisma pertahanan tubuh badan melawan jangkitan dan sebagainya, namun jangkitan boleh berlaku apabila seseorang itu dalam keadaan tidak sedarkan diri, akibat daripada ubat-ubatan tertentu, dadah, alkohol dan lain-lain serta akibat daripada penyakit yang berkaitan dengan sistem saraf. Bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, bengkak bernanah pada paru-paru boleh berlaku tetapi  bukan berpunca daripada organisma yang biasanya ditemui dalam mulut atau kerongkongnya, tetapi mungkin berpunca daripada kulat atau Mycobacterium tuberculosis (organisma yang menyebabkan tuberkulosis). Staphylococcus aureus dan Methicillin-resistant Staphylococcus aereus (MRSA) yang merupakan jangkitan yang serius turut boleh menyebabkan bengkak bernanah pada paru-paru. Ia kerap berlaku pada orang muda atau kanak-kanak yang sihat terutamanya jika mereka mendapat influenza.

Penyekatan atau penyumbatan saluran nafas juga boleh membawa kepada perbentukan nanah. Jika cabang-cabang bronchi tersekat oleh tumor atau bahan asing, pernanahan boleh terjadi apabila sekresi (mukus) terkumpul dibelakang tumor. Bakteria juga sentiasa masuk ke dalam sekresi ini. Penyumbatan ini menghalang campuran sekresi dan bakteria ini dibatuk keluar daripada saluran nafas. Selain daripada itu, bengkak bernanah pada paru-paru juga boleh terjadi akibat daripada bahagian atau organ lain yang dijangkiti bakteria kemudian bakteria ini masuk ke dalam aliran darah terutamanya dalam ketulan darah beku dan seterusnya aliran ini sampai ke paru-paru dan mengakibatkan jangkitan dikawasan itu pula, keadaan ini disebut sebagai (septic pulmonary emboli).

Biasanya seseorang itu akan mendapat 1 bengkak bernanah pada paru-parunya akibat daripada saluran nafas yang tersekat atau tersumbat. Jika banyak bengkak bernanah yang terhasil, ia biasanya hanya berlaku pada bahagian paru yang sama. Jika jangkitan berpunca daripada aliran darah, kemungkinan kedua-dua belah paru-parunya akan mendapat bengkak bernanah. Keadaan ini kerap berlaku pada mereka yang menyuntik badan mereka dengan jarum yang kotor dan tidak di steril.

Kebanyakkan bengkak bernanah akan pecah ke dalam saluran nafas dan menghasilkan banyak kahak yang boleh dibatuk keluar. Bengkak bernanah yang telah pecah akan meninggalkan kaviti didalam paru-paru yang akan di isi dengan cecair dan udara. Kaviti tersebut mungkin akan menjadi bahagian paru-paru yang tidak aktif atau tiada fungsi, atau ia mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang bahagian tersebut. Kadang kala bengkak bernanah yang pecah diantara paru-paru dan dinding dada (ruang pleural) akan menyebabkan ruang tersebut di isi dengan nanah, keadaan ini disebut sebagai Empyema. Terdapat juga keadaan yang jarang berlaku dimana bengkak bernanah tersebut memusnahkan dinding saluran darah hingga menyebabkan pendarahan yang serius.

Gejala

Biasanya gejala bermula dengan perlahan atau lambat berlaku. Gejala penyakit ini juga boleh berlaku secara tiba-tiba, namun ia bergantung pada punca penyakit ini dan kawasan bengkak bernanah itu terjadi atau pecah. Gejala awalnya pula adalah sama seperti keadaan Pneumonia.
Gejala awal yang biasanya berlaku adalah seperti:



  • Tidak bermaya.
  • Hilang selera makan.
  • Penurunan berat badan.
  • Berpeluh-peluh.
  • Batuk berkahak.
  • Kahak yang keluar berbau busuk (akibat daripada bakteria)
  • Kahak kemungkinan berdarah.
  • Sakit dada ketika bernafas (terutamanya jika lapisan luar paru-paru dan dalam dinding dada (pleura) meradang (keadaan yang dikenali sebagai pleurisy)
  • Demam yang adakalanya berhari-hari.
  • Bengkak bernanah yang berpunca daripada Staphylococcus eureus atau MRSA boleh menyebabkan kematian selepas beberapa hari dan kadang kala selepas beberapa jam.


.Diagnosis atau pemeriksaan

Imbasan X-ray biasanya dilakukan untuk melihat keadaan paru-paru. Namun kadang kala imej bengkak bernanah pada paru-paru yang terhasil dalam gambar X-ray sama seperti imej penyakit lain seperti kanser, Sarcoidosis, atau Wegener’s granulomatosis. Kadang kala bengkak bernanah hanya ditemui melalui ujian Computed tomography (CT) pada dada. Ujian kahak juga dilakukan untuk mengenalpasti organisma yang menjadi punca kepada penyakit ini.

Rawatan alopati

Rawatan bagi penyakit ini adalah seperti:



  • Antibiotik (secara oral atau disuntik)
  • Bronchosopy ( prosedur yang dijalankan jika bengkak bernanah terhasil akibat daripada tumor atau bahan asing yang menyumbat / menyekat saluran nafas)
  • Penyedutan nanah dengan memasukkan tiub melalui dinding dada ke dalam bengkak bernanah.
  • Pembedahan pembuangan tisu paru-paru yang dijangkiti atau keseluruhan bahagian paru-paru yang teruk dijangkiti


Kebanyakkan individu berjaya sembuh, namun rawatan akan menjadi kurang berkesan jika individu terbabit adalah kurang upaya atau mempunyai sistem imun yang bermasalah, individu yang mempunyai kanser paru-paru atau yang mempunyai bengkak bernanah yang besar.

Sumber / ambil dari blog : Rawatan dan Penyembuhan

No comments:

Post a Comment